HANOI, 29 September- Angka korban akibat taufan Bualoi yang membadai pesisir tengah utara Vietnam meningkat kepada tiga orang, dengan dua lagi cedera dan 21 dilaporkan hilang setakat pagi ini.
Taufan itu melanda wilayah Ha Tinh sekitar pukul 1.30 pagi waktu tempatan, membawa ribut kencang dan hujan lebat.
Bencana itu merosakkan bumbung rumah, menumbangkan pokok serta memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Kerajaan Vietnam sebelum ini memindahkan puluhan ribu penduduk di lebih 10 wilayah pantai bagi mengurangkan risiko, selain mengarahkan bot nelayan pulang ke pelabuhan.
Pihak berkuasa penerbangan turut menggantung operasi di beberapa lapangan terbang termasuk Dong Hoi dan Tho Xuan.
Sementara itu, usaha penilaian kerosakan serta misi menyelamat berdepan kesukaran akibat gangguan elektrik dan internet. -REUTERS