fb fb fb fb fb

Korea Selatan pulih 46 perkhidmatan kerajaan selepas kebakaran pusat data

Anggota bomba menyembur air ke atas bateri litium-ion yang terbakar / Foto REUTERS

SEOUL, 29 September- Korea Selatan berjaya memulihkan sekurang-kurangnya 46 perkhidmatan kerajaan selepas kebakaran di Pusat Sumber Maklumat Kebangsaan di Daejeon.

Insiden itu menjejaskan laman sesawang dan kemudahan digital awam sejak hujung minggu lalu.

Menteri Keselamatan, Yun Ho-jung berkata, portal utama kerajaan Government24 serta sistem kewangan dan pos kendalian Korea Post antara perkhidmatan yang kembali beroperasi.

Menurut Kementerian Keselamatan, agensi yang terjejas termasuk Jabatan Kastam Korea, Agensi Polis Kebangsaan dan Agensi Bomba Kebangsaan.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan penting untuk memperkukuh keselamatan sistem pentadbiran negara.

“Insiden ini mesti menjadi peluang untuk mencari penyelesaian asas dan jangka panjang, yang mampu membawa penambahbaikan besar terhadap keselamatan rangkaian pentadbiran negara kita,” katanya pada mesyuarat bersama menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Setakat ini, pihak berkuasa berusaha memulihkan operasi 551 daripada 647 sistem pentadbiran kerajaan.

Keseluruhan 99 peratus peralatan keselamatan utama serta separuh daripada kemudahan rangkaian yang terjejas sudah berjaya dipulihkan.

Kebakaran yang berlaku pada malam Jumaat lepas itu tercetus di bilik pelayan pusat data berkenaan.

Ia dipercayai berpunca daripada letupan bateri litium-ion keluaran LG Energy Solution ketika kerja penyelenggaraan.

Insiden itu merosakkan sebahagian pelayan dan memaksa ratusan lagi ditutup. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN