fb fb fb fb fb

Krisis air di Kabul jejaskan jutaan penduduk Afghanistan

Kebanyakan kanak-kanak di Kabul terpaksa ponteng sekolah demi mencari bekalan air bersih untuk keluarga masing-masing / Foto REUTERS

KABUL, 29 September- Krisis air yang berlarutan di Kabul dan sebahagian besar Afghanistan kini menjejaskan jutaan penduduk.

Kemarau yang berpanjangan serta penggunaan air bawah tanah secara berlebihan semakin memburukkan keadaan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, kira-kira 24 juta rakyat Afghanistan, iaitu lebih 60 peratus populasi, kini memerlukan bantuan kemanusiaan akibat konflik, krisis ekonomi dan kemarau.

Menurut pakar, krisis berkenaan bukan sahaja mengancam keselamatan makanan dan kesihatan, malah memaksa banyak keluarga bergantung kepada paip awam dan lori tangki swasta bagi mendapatkan bekalan asas.

Bagi Assadullah, seorang peniaga berusia 42 tahun, kesannya dirasai setiap hari.

Telaga di rumahnya kering sejak empat tahun lalu, memaksa beliau dan keluarganya berjalan 400 meter ke paip masjid dan menunggu berjam-jam untuk mengisi tong air.

“Kami juga bergantung pada lori tangki air yang hanya datang dua minggu sekali. Kos tambahan ini sangat membebankan,” katanya yang kini menderita ulser perut.

Isterinya, Speray pula, terpaksa berjimat cermat menguruskan air untuk kegunaan seharian.

“Dengan satu tong, saya perlu mandikan tiga anak dan membasuh pakaian secara berjimat.

Kekurangan air bersih juga menjejaskan kesihatan keluarga,” katanya.

Keadaan di Afghanistan menjadi semakin getir dengan kebanyakan kanak-kanak terpaksa ponteng sekolah untuk mencari air.

Keluarga pula terbeban dengan kos tinggi untuk mendapatkan bekalan bersih. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN