fb fb fb fb fb

Empat maut dalam insiden tembakan di gereja Mormon Michigan

William Renye, Ketua Polis Grand Blanc Township / Foto REUTERS

MICHIGAN, 29 September- Sekurang-kurangnya empat terbunuh dan lapan lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah gereja Mormon di sini.

Suspek dikenali sebagai Thomas Jacob Sanford, 40 tahun, bekas anggota Marin Amerika Syarikat (AS) dari Burton.

Beliau memandu kenderaannya merempuh pintu depan gereja sebelum melepaskan tembakan dengan senapang separa automatik dan membakar bangunan berkenaan.

Ketua Polis Grand Blanc Township, William Renye berkata, dua mangsa maut di lokasi, manakala lapan yang cedera dibawa ke hospital.

Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa menemui dua lagi mayat dalam bangunan yang terbakar, dengan kemungkinan mangsa lain masih terperangkap.

“Masih ada yang belum dikenal pasti,” katanya pada sidang media.

Renye menjelaskan, ratusan jemaah berada di dalam gereja ketika kejadian.

Dua pegawai penguat kuasa bertindak pantas, tiba dalam masa 30 saat selepas panggilan kecemasan diterima.

Suspek kemudian ditembak mati dalam pertempuran bersenjata di tempat letak kereta.

Menurut Gun Violence Archive, insiden itu merupakan kejadian tembakan besar-besaran ke-324 di AS tahun ini.

Ia juga merupakan insiden ketiga dalam tempoh kurang 24 jam, selepas tembakan di North Carolina dan kasino di Eagle Pass, Texas. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN