ISTANBUL, 29 September- Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini tiba di perairan utara Marsa Matrouh di pantai Mediterranean Mesir.
Menurut Jawatankuasa Antarabangsa bagi Membanteras Sekatan Gaza, flotila berkenaan dijangka meneruskan pelayaran ke Alexandria dalam beberapa jam lagi.
Dua kapal utama flotila, OHWAYLA dan ALL IN, kini hanya 366 batu nautika atau kira-kira 678 kilometer dari Gaza, dengan jangkaan tiba dalam tempoh tiga hingga empat hari.
“Flotila kami kini berjumlah 44 kapal, diperkuat dengan pelancaran dua bot baharu yang sedang belayar menyertai flotila. Dalam tempoh dua hari lagi, flotila ini akan memasuki zon berisiko tinggi.
Tekad kami tidak berbelah bahagi, namun inilah saat di mana kepekaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.
Sebelum ini, flotila berkenaan memaklumkan rancangan menghantar sebuah kapal khas pada 1 Oktober membawa lebih 100 wartawan antarabangsa dan petugas perubatan ke Gaza.
Misi flotila yang berlepas awal bulan ini bertujuan memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke wilayah bergolak itu.
Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan Gaza, menghalang kemasukan makanan dan bantuan, sekali gus memburukkan krisis kebuluran.
Tindakan itu turut dikritik komuniti antarabangsa selepas banyak bekalan dilaporkan dirampas kumpulan bersenjata yang didakwa dilindungi tentera Israel.
Sejak Oktober 2023, lebih 66,000 penduduk Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan tentera Israel di Gaza.