FOTO AFP
(Penduduk membersihkan sisa runtuhan selepas Batsirai membadai kawasan di daerah Tanambao pada 8 Februari lalu)
MADAGASCAR, 11 Februari- Jumlah kematian akibat taufan Batsirai yang melanda Madagascar baru-baru ini meningkat kepada 111 orang dengan kebanyakan mangsa adalah penduduk dari daerah paling terjejas.
Menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan, BNGRC; 87 orang dilaporkan terbunuh di daerah Ikongo, berhampiran pantai timur kepulauan Lautan Hindi itu.
“Kira-kira 30,000 orang terpaksa berteduh di pusat perlindungan bencana selepas Batsirai melanda Madagascar hujung minggu lalu,” menurut kemas kini agensi itu.
Agensi bantuan amat bimbang tentang bekalan air bersih untuk penduduk.
"Penyakit bawaan air menimbulkan risiko kesihatan utama selepas ribut tropika. Mereka telah mula memasang sistem penulenan atau penapisan air," kata agensi itu.
Lazimnya, penyakit bawaan air menjadi risiko utama selepas taufan.
Madagascar salah sebuah negara paling miskin di dunia. Kira-kira 42% kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan serius meskipun dalam situasi tanpa bencana. -AFP