SYDNEY, 17 Mac- Kerajaan Australia menganggarkan kerugian akibat Taufan Alfred berjumlah kira-kira A$1.2 bilion (AS$759 juta), yang dijangka mengurangkan satu perempat mata peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu bagi suku pertama tahun ini, lapor media tempatan.
Taufan Alfred melanda kawasan utara Brisbane, bandar ketiga terbesar di Australia, bulan ini selepas diturunkan status kepada ribut tropika rendah.
Kejadian itu mencetuskan banjir kilat dan gangguan bekalan elektrik di negeri Queensland serta New South Wales.
Menteri Kewangan Australia, Jim Chalmers, dalam ucapannya menjangkakan kejadian itu pasti memberi impak negatif kepada pertumbuhan suku tahunan negara, walaupun masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan taufan terhadap ekonomi.
Petikan ucapannya telah diedarkan kepada media Australia.
Pejabat Chalmers bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
"Kami masih belum mengetahui kos sebenar kepada belanjawan, tetapi ia pasti signifikan," kata Chalmers dalam ucapannya kepada Kelab Media Queensland, menurut laporan media.
"Saya menjangkakan kos ini dan peruntukan baharu akan berjumlah sekurang-kurangnya A$1.2 bilion, satu jumlah yang besar dan memberi tekanan besar kepada belanjawan," tambahnya.
Taufan itu juga berpotensi meningkatkan inflasi akibat kemusnahan ladang buah-buahan dan sayur-sayuran, ketika kerajaan pimpinan Parti Buruh berusaha mengekalkan kuasa menjelang pilihan raya nasional, sebelum pertengahan Mei.
Tinjauan terbaru menunjukkan gabungan pembangkang Liberal-Nasional berada sedikit di hadapan kerajaan pemerintah.
Menurut Majlis Insurans Australia, lebih 53,000 tuntutan telah dikemukakan setakat Jumaat berhubung kerosakan akibat taufan.
Selain itu, Chalmers dijangka menjelaskan kesan ekonomi yang mungkin timbul susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengenakan tarif ke atas keluli dan aluminium.- REUTERS