HONG KONG, 16 Mac- Majlis Negara China melancarkan "pelan tindakan khas" untuk menggalakkan penggunaan barangan tempatan dan mewujudkan skim subsidi penjagaan kanak-kanak sebagai langkah meningkatkan pendapatan penduduk.
Pelan itu dibuat berikutan permintaan pengguna di negara tembok besar itu mengalami pelbagai halangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti COVID-19 sekali gus menjejaskan perbelanjaan isi rumah dan menambah trend deflasi ke atas negara itu.
Pelan tersebut dikeluarkan kepada semua wilayah dan jabatan untuk "meningkatkan penggunaan secara bersungguh-sungguh, mengembangkan permintaan domestik, meningkatkan kapasiti penggunaan dengan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban," menurut laporan daripada majlis itu.
Pelan berkenaan dibuat seminggu selepas laporan kerja Perdana Menteri China Li Qiang kepada Kongres Rakyat Kebangsaan yang menumpukan pada meningkatkan perbelanjaan isi rumah untuk mengurangkan kesan permintaan luar yang lemah.
Bagaimanapun ia memberi tekanan ke atas pegawai China dalam memastikan langkah rangsangan tertumpu kepada pengguna untuk menangkis tekanan deflasi dan mengurangkan kebergantungan ekonomi kedua terbesar dunia itu terhadap eksport dan pelaburan.
Pelan yang dikeluarkan pada Ahad itu menggesa supaya meningkatkan pendapatan bandar dan luar bandar. Pendapatan petani harus dirangsang dengan langkah-langkah seperti reformasi perumahan.
Pelan tindakan berkenaan luas tetapi terhad dalam menjanjikan sumber kukuh untuk menyokong kerajaan tempatan semasa merangka langkah sebenar untuk melaksanakan rancangan itu.
Pelan itu juga memberi bayangan langkah untuk menstabilkan pasaran saham tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Pihak berkuasa harus "mengkaji dan mewujudkan sistem subsidi penjagaan kanak-kanak," serta melaksanakan pekerjaan fleksibel dan pembukaan klinik pesakit luar kanak-kanak pada waktu malam di hospital umum.
Perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh komuniti dan majikan juga perlu digalakkan.
Hak pekerja dan hari cuti mesti dijamin dan cuti tahunan dibayar serta cuti pendek harus digalakkan.
Piawaian subsidi kewangan untuk pencen asas penduduk bandar dan luar bandar juga perlu ditingkatkan.
Terdapat juga cadangan untuk meningkatkan pelancongan untuk ke negara China dengan memperluas negara yang pengembaranya tidak memerlukan visa.- Reuters