fb fb fb fb fb

Taufan Agatha melanda Mexico: 3 maut, 8 hilang

OAXACA, 1 Jun - Taufan Agatha membadai selatan Mexico menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lapan hilang selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh dan banjir.

Agatha yang merupakan taufan pertama musim Pasifik, adalah yang paling kuat melanda kawasan sepanjang pantai Pasifik Mexico pada Mei sejak penyimpanan rekod bermula pada 1949, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat.

Ribut itu menjadi lemah apabila bergerak ke pedalaman selepas melanda bandar pelancongan pantai, namun saki-bakinya terus membawa hujan lebat ke bahagian selatan Mexico.

(Taufan Agatha membadai selatan Mexico menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lapan hilang selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh dan banjir/AFP)

“Hujan lebat yang berlaku awal pagi Selasa menyebabkan tebing sungai pecah dan tanah runtuh,” kata gabenor negeri Oaxaca, Alejandro Murat kepada media.

“Tiga orang dilaporkan mati dan lapan hilang,” tambahnya.

Dua orang berusia 18 dan 21 tahun maut apabila sebahagian daripada bukit runtuh di bandar Santa Catarina Xanaguia, kata pejabat perlindungan awam Oaxaca.

Seorang lagi wanita maut dan anak lelakinya cedera dalam kejadian tanah runtuh di Llano del Chillar, katanya.

BERITA BERKAITAN
Taufan Agatha badai pesisir pantai Mexico

Lapan orang hilang di pergunungan Sierra Sur dan kawasan pantai Oaxaca, tambah pejabat itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

Agatha mendarat pada Isnin berhampiran Puerto Angel di Oaxaca sebagai taufan Kategori Dua yang kedua terendah pada skala lima dengan angin sederas 165 kilometer (105 batu) sejam. -AFP

Media Baharu