fb fb fb fb fb

Perjanjian Jerman-Greece, hantar kereta kebal ke Ukraine

BRUSSELS, 1 Jun - Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata bahawa beliau bersetuju dengan perjanjian bersama Greece yang akan menyaksikan Athens menghantar kenderaan tentera era Soviet ke Ukraine sebagai pertukaran untuk menerima perisai yang lebih moden dari Berlin.

"Kami akan menyediakan pengangkut berperisai Jerman," kata Scholz selepas Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.

Berlin akan menghantar kereta kebal pengangkut Marder ke Greece dan seterusnya akan menghantar kereta kebal tempur BMP-1 era Soviet ke Ukraine, menurut laporan media Greece.

"Dari awal lagi, jelas bahawa kami perlu membuat pilihan yang tepat, iaitu menyokong Ukraine dalam semua cara yang mungkin," kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis semasa lawatan ke Belanda pada hari Selasa.


(Canselor Jerman, Olaf Scholz pada sidang media di Sidang Kemuncak EU di Brussels/AFP)

Bagaimanapun, beliau mengakui Greece mengekalkan hubungan agak rapat dengan Rusia atas sebab geografi dan tradisi gereja Ortodok.

Greece, negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menghantar peralatan pertahanan ke Ukraine termasuk senjata antikereta kebal, Kalashnikov dan peluru pada akhir Februari lalu. Ia mengundang kritikan daripada parti pembangkang berhaluan kiri.

Parti pembangkang utama, Syriza berkata tidak dapat difikirkan bahawa Scholz mengumumkan perjanjian kereta kebal kepada rakyat Greece, manakala Mitsotakis tidak menyebutnya selepas sidang kemuncak EU di Brussels.

Dalam pada itu, Jerman juga telah mencapai perjanjian yang sama dengan Republik Czech untuk membantu membekalkan senjata ke Ukraine dan kini sedang berunding dengan Poland.

Matlamatnya adalah untuk membekalkan Ukraine dengan senjata yang sangat diperlukan daripada stok lama pada era Soviet yang boleh digunakan semasa pertempuran untuk menghentikan pencerobohan Rusia.

Jerman mahu menghantar 14 kereta kebal tempur Leopard dan satu kenderaan perisai Leopard ke Prague sebagai pertukaran untuk Czech menghantar kereta kebal T-72 ke Ukraine.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk penghantaran.

Pertukaran yang dirancang dengan Poland yang bertujuan untuk melihat Warsaw menerima pengganti peralatan moden untuk dihantar ke Ukraine juga masih belum menjadi kenyataan.

Presiden Poland Andrzej Duda telah menuduh Berlin tidak menunaikan janjinya mengenai peralatan tersebut.

Kerajaan Jerman telah menerima kritikan daripada Kiev kerana terlalu lewat menghantar senjata ke Ukraine.-AFP

Media Baharu