BANGKOK, 1 JUN - Tentera Myanmar disyaki menggunakan serangan udara dan serangan artileri sebagai "hukuman kolektif" terhadap orang awam yang menentang rampasan kuasanya, kata Amnesty International yang menuduh junta melakukan jenayah perang.
Pertempuran maut telah memusnahkan sebahagian besar negara itu sejak rampasan kuasa tahun lalu, untuk menggulingkan kerajaan awam pemimpin Aung San Suu Kyi.
Sehingga kini pihak junta tidak dapat menghancurkan penentangan terhadap pemerintahannya.
"Antara Disember tahun lalu hingga Mac, pihak tentera meningkatkan serangan di negeri Kayah dan Kayin di sepanjang sempadan Thai, dengan melakukan pembunuhan, rompakan dan pembakaran kampung," kata Amnesty.
Serangan udara dan tembakan mengenai rumah, kemudahan kesihatan, kuil dan gereja, kata kumpulan hak asasi manusia, manakala penduduk kampung memberitahu penyelidik beberapa serangan artileri berlangsung selama beberapa hari.
Amnesty berkata serangan itu membentuk "gelombang baharu jenayah perang dan kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan".
(Gambar fail Free Burma Rangers yang diambil pada 29 Mac 2021/AFP)
"Dari Disember hingga Mac, serangan udara telah meragut nyawa sembilan orang awam dan mencederakan sekurang-kurangnya sembilan yang lain," kata laporan itu.
"Dalam hampir semua serangan (udara) yang didokumenkan, hanya orang awam yang kelihatan hadir," katanya.
Sebuah kem pelarian di negeri Kayah dibedil dalam pada Januari lalu, membunuh seorang lelaki dan dua beradik perempuan yang berlindung di kawasan yang menurut aktivis "sepatutnya diketahui tentera".
Penyelidik juga mendokumentasikan kejadian askar menembak orang awam yang melarikan diri dari pertempuran, termasuk seorang saksi yang berkata tentera telah menembak mati enam orang yang cuba menyeberang sungai ke Thailand. -AFP