(Taufan Agatha di Puerto Escondido, Oaxaca di Mexico/FOTO REUTERS)
HUATULCO, 1 Jun- Taufan Agatha yang pertama musim ini, membadai pusat peranginan di pantai Pasifik Mexico, di sini pada Isnin, membawa angin kencang dan hujan lebat.
Agatha merupakan taufan terkuat di sepanjang pantai Pasifik Mexico. Agatha membawa angin berkelajuan maksimum 110 kilometer sejam dan bergerak pada kelajuan 13 kilometer sejam.
Ia mula membadai Puerto Angel di negeri selatan Oaxaca sebagai taufan Kategori Dua tetapi kemudiannya bertukar kepada Kategori Satu. Tanah runtuh kecil turut dilaporkan di bahagian Oaxaca.
Penduduk di sepanjang pantai telah membuat persiapan awal dengan menyimpan bekalan makanan dan air. Pelabuhan turut ditutup manakala syarikat penerbangan pula telah membatalkan penerbangan.
Pihak berkuasa turut membuka 200 tempat perlindungan yang mampu menempatkan lebih 26,000 orang manakala hotel menyediakan perlindungan kepada lebih 5,000 pelancong dalam dan luar negara yang berada di zon bahaya.
Agatha diramalkan semakin lemah dan hilang menjelang petang Selasa.
Kelmarin, Laporan Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC) menyebt, taufan Agatha membawa angin berkelajuan maksimum 175 km sejam (km/j), bergerak ke utara pada kira-kira dua km/j.
Sementara itu, kelmarin pihak berkuasa di negeri Oaxaca, Guerrero dan Chiapas menggalakkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga sejak Sabtu lalu termasuk menjaga harta benda berhampiran kawasan pantai selain menggesa penduduk berlindung.
Pihak berkuasa juga menutup pelabuhan di Oaxaca dan Guerrero.
(Taufan Agatha badai pesisir pantai Mexico/FOTO REUTERS)
Destinasi luncur ombak popular di Puerto Escondido dan Huatulco menyediakan tempat perlindungan sementara dengan kapasiti bagi menempatkan 26,800 orang dan mengaturkan penginapan untuk 5,200 orang lagi di hotel tempatan.
Mexico kebiasaannya dilanda taufan di kedua-dua pantai Pasifik dan Atlantik, antara bulan Mei dan November. -AFP