fb fb fb fb fb

Tarif baharu Trump bakal jejas industri penerbangan global

Foto REUTERS

NEW YORK, 20 April-Harga pesawat komersial terus mencatatkan peningkatan mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dipacu oleh gangguan rantaian bekalan akibat pandemik, lonjakan kos bahan mentah, tekanan buruh serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan negara-negara lain, khususnya China dan Rusia.

Menurut seorang pakar industri penerbangan yang enggan dinamakan, harga pesawat telah meningkat sekitar 30 peratus berbanding tahun 2018, selari dengan kenaikan harga bahan seperti titanium, tenaga, dan alat ganti yang semakin sukar diperoleh.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli dan aluminium, bahan penting dalam pembuatan pesawat.

Pakar industri menyifatkan langkah ini sebagai “pendekatan yang memburukkan keadaan”, menjadikan bahan mentah satu masalah besar dalam industri.

Menurut Pengarah Urusan firma perunding AeroDynamic Advisory, Richard Aboulafia harga bagi bahan dan komponen penerbangan telah melonjak lebih 40 peratus sejak tahun 2021, terutamanya selepas kapasiti pengeluaran titanium dari Rusia disekat sepenuhnya dari pasaran Amerika Syarikat dan sebahagian Eropah.

Tambahan pula, syarikat seperti Boeing dan pembekalnya, Spirit AeroSystems, terpaksa menawarkan kontrak baharu dengan kenaikan gaji sehingga 38 peratus dalam tempoh empat tahun untuk meredakan mogok pekerja.

Kenaikan itu memberi impak besar kepada kos pengeluaran, sekali gus menolak harga pesawat ke paras yang lebih tinggi.

Walaupun Boeing dan Airbus mempunyai katalog harga, pakar menyatakan bahawa angka tersebut hanyalah bersifat “fiksyen”.

Banyak urus niaga dilakukan berdasarkan rundingan individu, bergantung kepada konfigurasi, sokongan teknikal tambahan, latihan juruterbang, serta klausa penyesuaian harga jika berlaku kelewatan penghantaran.

Airbus sendiri mengakui bahawa mereka telah lama meninggalkan sistem harga katalog, kerana ia tidak mencerminkan harga sebenar pesawat dalam kontrak sebenar.

Walaupun permintaan terhadap pesawat komersial kekal tinggi dengan tunggakan tempahan hingga ke penghujung dekad ini iaitu harga pasaran masih dikawal oleh persaingan sengit antara Boeing dan Airbus.

Menurut penganalisis dari firma Roland Berger, Manfred Hader, sebelum pandemik, kedua-dua syarikat berlumba-lumba menawarkan harga terlalu rendah untuk merebut pasaran.

Namun, selepas COVID-19, syarikat penerbangan kini lebih mampu membeli pesawat mahal hasil peningkatan keuntungan dan permintaan penumpang.

Pesawat seperti Boeing 737 MAX, 787 Dreamliner, dan Airbus A321neo kini dijual pada harga premium berikutan kelebihan kecekapan bahan api.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD