SEATTLE, April 19- Sebuah pesawat Boeing 737 MAX yang sepatutnya digunakan oleh syarikat penerbangan China, Xiamen Airlines, telah kembali ke pusat pengeluaran Boeing di Amerika Syarikat semalam, susulan ketegangan perdagangan dua hala antara Washington dan Beijing.
Pesawat tersebut yang lengkap dengan 'livery' Xiamen Airlines, mendarat di Lapangan Terbang Boeing Field, Seattle pada pukul 6.11 petang waktu tempatan, menurut saksi Reuters.
Jet tersebut sebelum ini berada di pusat penyempurnaan Boeing di Zhoushan, China, bagi kerja akhir dan penghantaran kepada pengendali China, namun diarahkan kembali ke AS selepas menempuh perjalanan sejauh 8,000 kilometer dengan hentian pengisian minyak di Guam dan Hawaii.
Langkah itu dipercayai berpunca daripada ketegangan perdagangan yang semakin memuncak, apabila Presiden Donald Trump meningkatkan tarif asas ke atas barangan import dari China kepada 145 peratus. Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif balas sebanyak 125 peratus terhadap produk dari Amerika Syarikat.
Langkah tersebut memberi kesan besar kepada penghantaran pesawat baharu, termasuk model 737 MAX yang dianggarkan bernilai sekitar AS$55 juta seunit, menurut firma perunding penerbangan IBA.
Setakat ini, masih belum jelas pihak mana yang membuat keputusan untuk mengembalikan pesawat berkenaan ke AS. Boeing dan Xiamen Airlines juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Pengembalian pesawat itu menjadi satu lagi petunjuk kepada gangguan dalam rantaian penghantaran pesawat baharu, yang sebelum ini menikmati status bebas cukai selama beberapa dekad dalam industri aeroangkasa.
Penganalisis turut menjangkakan lebih banyak penghantaran pesawat bakal tertangguh berikutan ketidaktentuan tarif, dengan beberapa Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan menyatakan hasrat untuk menangguhkan penerimaan pesawat berbanding menanggung cukai yang tinggi.-REUTERS