fb fb fb fb fb

Angka korban serangan berdarah di Benue meningkat kepada 56 orang

FAIL FOTO AFP

LAGOS, 20 April- Angka korban dalam siri serangan dipercayai dilakukan penternak lembu bersenjata di wilayah Benue, tengah Nigeria meningkat kepada 56 orang, menurut kenyataan Gabenor Benue, Hyacinth Alia, pada Sabtu.

Menurut laporan media tempatan, Gabenor Alia mendedahkan angka tersebut semasa lawatan ke kawasan terjejas di Daerah Kerajaan Tempatan (LGA) Logo dan Ukum. Sebelum ini, pihak polis hanya melaporkan 17 kematian.

“Awal pagi tadi, kami dimaklumkan lebih banyak mayat ditemui di kawasan Logo dengan jumlah korban kini mencecah 27 orang,” kata beliau kepada media, dipetik agensi berita News Agency of Nigeria.

Tambahnya lagi, sejumlah 29 mayat turut ditemui di kawasan Ukum menjadikan jumlah keseluruhan seramai 56 mangsa terkorban dalam tempoh satu malam. “Ini sangat menyayat hati,” ujarnya.

Serangan terbaru itu menandakan peningkatan semula keganasan antara komuniti petani dan penternak yang telah berlarutan selama bertahun-tahun, sekali gus menjejaskan pengeluaran makanan di wilayah tengah Nigeria kawasan pertanian utama negara itu.

Pada Selasa lalu, 11 lagi maut dalam serangan di Otukpo, Benue, manakala lebih 50 orang terbunuh dalam kejadian berasingan di negeri jiran, Plateau, pada malam Isnin.

Sejak tahun 2019, konflik antara kumpulan ini dilaporkan telah meragut lebih 500 nyawa dan menyebabkan seramai 2.2 juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut laporan firma penyelidikan SBM Intelligence.

Dalam insiden berasingan pada awal pagi Jumaat, lima petani maut ditembak di sekitar kawasan Gbagir, Ukum. Menurut jurucakap polis, Sewuese Anene, kejadian berlaku ketika pasukan polis sedang bergerak ke lokasi bagi menghadapi kumpulan bersenjata terbabit.

Sementara itu, semasa pasukan keselamatan sedang menggempur penyerang di Ukum, serangan lain turut berlaku di Logo yang terletak kira-kira 70 kilometer dari lokasi pertama, mengorbankan 12 lagi mangsa.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE