fb fb fb fb fb

56 terbunuh dalam serangan baharu Israel

Foto WAFA

GAZA, 20 April– Sekurang-kurangnya 56 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh manakala puluhan yang lain cedera dalam serangan udara Israel pada Sabtu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), wartawan melaporkan bahawa mayat seorang wanita telah ditemui manakala empat lagi kanak-kanak dan warga emas cedera selepas peluru artileri Israel menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan pelarian di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Yunis, selatan Gaza.

"Di bahagian tengah Gaza, seorang lelaki Palestin dikenali sebagai Ismail Darwish meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat. Serangan sama telah meragut nyawa sembilan ahli keluarga Darwish apabila rumah mereka dibom oleh jet Israel.

"Artileri Israel turut menyasarkan kawasan kejiranan Al-Tuffah di timur Gaza, dan pada masa yang sama, serangan turut berlaku di pinggir timur kem pelarian Al-Maghazi di tengah Gaza. Di bandar Rafah, selatan Gaza, tentera laut Israel melepaskan tembakan senjata berat ke arah pesisir pantai bandar tersebut," lapor WAFA.

Sejak pencerobohan Israel bermula pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 51,157 rakyat Palestin terbunuh, dengan lebih 116,724 lagi mengalami kecederaan.

Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan dan tidak dapat diselamatkan akibat serangan berterusan Israel yang menghalang operasi kecemasan dan pasukan pertahanan awam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM