LONDON, 26 September- Saham syarikat farmaseutikal utama Eropah kebanyakannya kekal stabil pada Jumaat, meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif baharu ke atas import ubat berjenama bermula 1 Oktober ini.
Trump berkata tarif sebanyak 100 peratus itu hanya akan dikenakan kepada pengeluar yang belum memulakan pembinaan kilang pembuatan di AS.
Sejumlah syarikat farmaseutikal sebelum ini telah mengumumkan pelaburan bernilai berbilion dolar di negara itu.
Bagaimanapun, pengumuman Trump menerusi platform Truth Social tidak menjelaskan sama ada tarif baharu tersebut akan dikenakan sebagai tambahan kepada tarif sedia ada.
Perjanjian perdagangan terkini antara AS dengan Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Britain turut merangkumi had tarif untuk produk tertentu termasuk farmaseutikal.
Di Eropah, saham Genmab, Zealand Pharma, UCB dan Galderma masing-masing susut antara 1.3 hingga 2.4 peratus.
Bayer dan Novo Nordisk turut mencatat penurunan masing-masing 0.2 dan 1 peratus, manakala Merck meningkat 0.4 peratus.
Sementara itu, saham syarikat farmaseutikal Switzerland termasuk Roche, Novartis dan Lonza meningkat antara 0.1 hingga 1.2 peratus. -REUTERS