fb fb fb fb fb

Petani Perancis bantah perjanjian EU-Mercosur, dakwa jejas pendapatan

Foto Reuters

VERSAILLES, 26 September- Sekitar 100 petani Perancis mengadakan demonstrasi di hadapan Istana Versailles pada Jumaat, menuntut pemansuhan peraturan dalam amalan pertanian yang didakwa menekan keuntungan serta mengancam kelangsungan hidup mereka.

Kesatuan pertanian termasuk Jeunes Agriculteurs (Petani Muda) menyertai hari bantahan tersebut bagi menolak perjanjian perdagangan bebas Kesatuan Eropah (EU)-Mercosur bersama negara-negara Amerika Selatan serta mengenakan tekanan berhubung tarif Amerika Syarikat (AS).

Kesatuan berkenaan merancang meningkatkan desakan terhadap Perdana Menteri baharu, Sebastien Lecornu supaya menangani keluhan mereka.

Presiden Jeunes Agriculteurs daerah Seine-et-Marne, Maxime Lievin berkata petani Perancis mampu memastikan kedaulatan makanan, namun ia terancam sekiranya pasaran dibanjiri produk dari Amerika Selatan.

Petani tempatan bimbang perjanjian Mercosur akan membuka ruang lebih banyak import daging lembu, ayam, gula dan jagung dari Brazil dan Argentina, negara yang dituduh menggunakan racun perosak serta antibiotik pertumbuhan haiwan yang diharamkan di Eropah.

Seorang pelajar pengurusan pertanian, Gwendal Kerscaven, pula melahirkan kebimbangan mengenai masa depannya apabila mendengar luahan petani yang menanggung hutang dan berdepan risiko menutup ladang.

Suruhanjaya Eropah bulan ini membentangkan perjanjian perdagangan EU-Mercosur untuk kelulusan, sambil cuba meredakan bantahan Perancis dengan memberi jaminan kemungkinan menghadkan kemasukan produk pertanian tertentu. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM