fb fb fb fb fb

Tarif AS tidak adil: China kecam "egoisme melampau" Washington

Menteri Luar China, Wang Yi / Foto Reuters

HONG KONG, 26 April – Menteri Luar China, Wang Yi, mengecam dasar tarif Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai mencerminkan "egoisme melampau" dan menentang prinsip perdagangan bebas serta peraturan antarabangsa.

Bercakap di Kazakhstan semasa mesyuarat Menteri-Menteri Luar China-Asia Tengah, Wang menyatakan Beijing akan bekerjasama dengan negara-negara lain bagi menentang perlindungan perdagangan dan memastikan solidariti dalam menghadapi tekanan ekonomi yang didakwanya berpunca daripada tindakan membuli oleh negara tertentu.

"China berpihak kepada multilateralisme dan peraturan antarabangsa, dan menentang sebarang bentuk perlindungan perdagangan," tegas Wang dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar China pada Sabtu.

Kenyataan tersebut hadir susulan temu bual Presiden AS, Donald Trump, yang mendakwa rundingan tarif sedang berlangsung antara Washington dan Beijing.

Bagaimanapun, kerajaan China menafikan dakwaan itu, memperlihatkan isyarat bercanggah dalam usaha meredakan ketegangan perang perdagangan yang kian membimbangkan pasaran global.

Dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov, Wang menekankan komitmen China untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dan menstabilkan sistem perdagangan global melalui sokongan terhadap multilateralisme.

Perkembangan itu menandakan ketegangan berterusan antara dua kuasa ekonomi utama dunia, yang dijangka terus mempengaruhi landskap pertumbuhan global.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN