PARIS, 26 April – Iran menganggap program peluru berpandunya sebagai isu utama yang menghalang kemajuan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), berbanding isu pengayaan uranium, menurut seorang pegawai Iran.
Rundingan antara kedua-dua negara akan disambung semula pada Sabtu di Muscat, dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, dan utusan Asia Barat Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, menyampaikan mesej melalui seorang pegawai Oman.
Pegawai Iran itu memaklumkan bahawa rundingan di Rom baru-baru ini membawa keyakinan bahawa AS menerima hak Iran untuk meneruskan program pengayaan uranium secara terhad.
Namun begitu, program peluru berpandu Iran kekal menjadi titik pertikaian utama.
Iran menegaskan keupayaan pertahanannya bukan untuk dirunding dan tidak akan memberi sebarang konsesi tambahan selain yang dipersetujui dalam perjanjian 2015.
Pegawai itu menyifatkan tuntutan terbaharu AS agar Iran menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium sebagai “pendirian media baharu” yang boleh menjejaskan rundingan.
Presiden Trump, yang membatalkan perjanjian 2015 semasa penggal pertama pemerintahannya, menyatakan beliau terbuka untuk bertemu Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei atau Presiden Masoud Pezeshkian bagi mencapai perjanjian baharu.
Sementara itu, beberapa diplomat Eropah menyatakan bahawa Iran berulang kali menolak untuk membincangkan program peluru berpandunya, walaupun usaha dilakukan untuk menjadikan isu tersebut sebahagian daripada perjanjian nuklear yang komprehensif.-REUTERS