fb fb fb fb fb

Presiden Syria lawat AS, simbol transformasi hubungan baharu Damsyik-Washington

Foto AFP

WASHINGTON, 9 November - Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa tiba di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu untuk lawatan rasmi bersejarah, sehari selepas Washington mengeluarkannya daripada senarai hitam pengganas.

Al-Sharaa, yang menggulingkan bekas pemerintah Bashar al-Assad tahun lalu, dijadual bertemu Presiden Donald Trump di White House pada Isnin, lawatan pertama oleh seorang pemimpin Syria ke AS sejak negara itu merdeka pada 1946.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata, keputusan itu diambil sebagai pengiktirafan terhadap “kemajuan yang ditunjukkan kepimpinan Syria selepas berakhirnya lebih 50 tahun pemerintahan rejim Assad”.

Lawatan al-Sharaa juga dilihat menandakan perubahan besar dalam dasar luar Syria, selepas bekas kumpulannya, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dikeluarkan daripada senarai pengganas pada Julai lalu.

Sharaa dijangka turut membincangkan bantuan kewangan bagi usaha pembinaan semula Syria selepas 13 tahun perang saudara, yang menurut Bank Dunia menelan kos sekurang-kurangnya AS$216 bilion.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN