VISAKHAPATNAM, 17 Ogos – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 50 peratus terhadap makanan laut dari India memberi tamparan hebat kepada industri berkenaan, menurut Presiden Kebangsaan Persatuan Pengeksport Makanan Laut India, Pawan Kumar.
"Jika dilihat pada jumlahnya, kita mengeksport sekitar AS$3 bilion makanan laut ke AS daripada jumlah keseluruhan eksport India sebanyak AS$7.5 bilion. Tarif baharu ini benar-benar memberi kesan besar kepada kita," katanya.
Kumar menjelaskan, pasaran AS kekal penting, namun kadar tarif lebih tinggi meletakkan India pada kedudukan tidak kompetitif berbanding pesaing seperti Ecuador dan Indonesia, masing-masing hanya dikenakan tarif 15 peratus dan 19 peratus.
Menurutnya, kualiti makanan laut India diiktiraf di seluruh dunia, termasuk AS, kerana standard lebih baik, tetapi jurang tarif memberi kelebihan jelas kepada Ecuador yang menghasilkan 1.4 juta tan berbanding India sebanyak 1 juta tan.
Rusia kini dilihat sebagai pasaran alternatif berpotensi, namun kelulusan pihak berkuasa Moscow terhadap kira-kira 90 unit pemprosesan makanan laut India masih diperlukan.
Tarif AS bukan sahaja menjejaskan industri makanan laut, malah turut memberi kesan kepada hampir separuh daripada jumlah eksport India bernilai AS$87 bilion, termasuk tekstil dan batu permata, sekali gus mengancam peluang pekerjaan dalam sektor yang menggaji kira-kira 45 peratus tenaga kerja negara itu.
Walaupun lima pusingan rundingan sebelum ini gagal mencapai kata sepakat, rundingan perdagangan dijadualkan bersambung pada 25 Ogos, dengan India menegaskan tidak akan membuat sebarang konsesi dalam sektor pertanian, tenusu dan tanaman diubah suai genetik.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan tambahan tarif 25 peratus terhadap barangan India, menjadikan keseluruhannya sekitar 50 peratus, sebagai tindakan balas terhadap pembelian berterusan minyak Rusia oleh India. Tarif berkenaan dijangka berkuat kuasa 27 Ogos ini.- VIORY