OTTAWA, 17 Ogos -Kerajaan Kanada pada Sabtu mengarahkan anak kapal kabin Air Canada untuk timbang tara mandatori dan menghentikan mogok bagi menyelesaikan kebuntuan perjanjian kontrak syarikat penerbangan itu.
Ribuan pramugari dan pramugara Air Canada mula meninggalkan tugas tepat pukul 1.00 pagi waktu tempatan, buat kali pertama sejak tahun 1985, selepas rundingan berbulan-bulan mengenai kontrak baharu menemui jalan buntu.
Tindakan tersebut menyebabkan syarikat penerbangan itu telah membatalkan hampir semua 700 penerbangan harian, menjejaskan lebih 100,000 penumpang yang terpaksa mencari alternatif perjalanan.
Isu paling hangat dalam rundingan kontrak ialah tuntutan kesatuan agar masa yang dihabiskan di darat antara penerbangan dan ketika membantu penumpang menaiki pesawat turut diberi bayaran. Ketika ini, kru kabin kebanyakannya hanya dibayar ketika pesawat sedang bergerak.
Menteri Pekerjaan Patty Hajdu, berkata dalam satu sidang media bahawa beliau telah meminta Lembaga Perhubungan Perindustrian Kanada (CIRB) untuk mengenakan timbang tara mandatori kepada kedua-dua pihak dan mengarahkan penamatan segera mogok tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa proses itu mungkin mengambil masa antara 24 hingga 48 jam, manakala Air Canada menyatakan bahawa operasi penuh hanya boleh disambung semula dalam tempoh seminggu selepas mogok berakhir.
“Ini bukan keputusan yang saya buat secara mudah, tetapi potensi kesan negatif yang segera terhadap rakyat Kanada dan ekonomi negara terlalu besar,” kata Hajdu. - REUTERS