fb fb fb fb fb

Enam sekeluarga maut dalam banjir kilat di Sarli Sacha

Keadaan banjir di Sarli Sacha/ REUTERS

ISLAMABAD, 17 Ogos – Enam sekeluarga maut selepas banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat mendadak memusnahkan perkampungan terpencil Sarli Sacha, menurut penduduk tempatan pada Sabtu.

Seorang penduduk tempatan, Munir Younus berkata, semalam berlaku hujan berterusan berlaku di sini hingga menyebabkan kematian enam ahli keluarga di Lariya.

"Enam ahli keluarga di Lariya, Sarli Sacha ditemukan meninggal dunia. Enam hingga tujuh rumah rosak manakala kira-kira 50 ternakan turut dihanyutkan arus deras," katanya.

Tragedi di Sarli Sacha itu berlaku ketika bencana monsun terus mengakibatkan kemusnahan besar di seluruh Asia Selatan. Di barat laut Pakistan sahaja, lebih 300 nyawa terkorban selepas dua hari hujan lebat berterusan mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan panahan petir, menurut pegawai tempatan.

Wilayah paling teruk terjejas ialah kawasan pergunungan Khyber Pakhtunkhwa, yang menyaksikan hujan lebat mendadak dan banjir deras, menjadikannya antara kejadian paling dahsyat musim monsun tahun ini.

Sehingga Sabtu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah mengesahkan sekurang-kurangnya 307 kematian, dengan ramai lagi masih hilang.

Beberapa kawasan di negara jiran India dan Nepal turut dilanda hujan lebat, banjir serta insiden berkaitan monsun sejak seminggu lalu.

Waris mangsa, Mohammad Nazir yang ditemui berkata, operasi pencarian ahli keluarganya yang masih hilang terus dilakukan.

"Kami mula menggali tanah sedikit demi sedikit sehingga akhirnya menemui lima mayat di satu lokasi, namun mayat seorang anak perempuan masih hilang.

"Kami berusaha sepanjang malam mencarinya sehinggalah pada waktu pagi, seorang wanita memberitahu bahawa kanak-kanak perempuan itu berada di satu kawasan ketika banjir melanda.

"Kami kemudian mula menggali di lokasi berkenaan dan akhirnya berjaya menemui mayat kanak-kanak itu di situ juga. Selepas itu, kami membawa kesemua mayat pulang ke sini," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI