BELGRADE, 17 Ogos- Protes antikerajaan di Serbia pada Sabtu semakin memuncak apabila pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata serta menggunakan kenderaan kawalan rusuhan bagi menyuraikan penunjuk perasaan di ibu negara, Belgrade.
Menurut media tempatan, Beta, gelombang bantahan turut merebak ke beberapa bandar lain susulan dakwaan berlakunya kekerasan polis ketika demonstrasi terdahulu, termasuk insiden seorang lelaki berusia 25 tahun di Valjevo yang dilaporkan cedera parah selepas dipukul anggota polis pada Khamis.
Beta turut melaporkan bahawa dua remaja berusia 15 dan 17 tahun antara yang ditahan dan dipukul ketika menyertai protes yang dianjurkan pelajar sekolah menengah.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Serbia menafikan dakwaan berhubung kekerasan polis itu.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Majlis Eropah turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa di Serbia, dengan menekankan isu berterusan berkaitan hak asasi manusia di negara itu.
Gelombang protes yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu tercetus selepas tragedi runtuhan bumbung di sebuah stesen kereta api yang baru diubah suai di Novi Sad, yang mengorbankan 16 nyawa.
Insiden itu telah menimbulkan tekanan besar terhadap Presiden Aleksandar Vucic serta parti pemerintahnya, Parti Progresif Serbia (SNS).
Sebelum ini, demonstrasi berlangsung dalam keadaan aman namun keadaan berubah pada Rabu lalu apabila pertembungan berlaku sehingga mencederakan 27 anggota polis dan kira-kira 80 orang awam manakala 47 individu ditahan. -REUTERS