GAZA, 17 Ogos – Sebuah dapur amal yang dikendalikan badan kebajikan Algeria di Gaza kini menjadi talian hayat kepada keluarga di wilayah bergolak itu, meskipun kemampuan untuk memenuhi permintaan semakin berkurangan susulan kekurangan bekalan akibat sekatan ke atas kawasan tersebut.
Ahmed Kahil, penyelaras projek dapur amal yang diuruskan Algerian White Hands Association, majoriti kanak-kanak menanti dengan periuk kosong sementara menunggu makanan disediakan.
"Kami berusaha sedaya upaya untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan orang ramai.
"Kami hanya mampu menyediakan 18 periuk masakan, sedangkan sebelum ini sekitar 20 hingga 35 periuk, dan itu pun masih tidak mencukupi. Kita sedang bercakap tentang kebuluran sebenar yang sedang dialami rakyat Gaza," katanya.
Dapur amal menjadi satu-satunya sumber makanan bagi ramai penduduk di Gaza serta kawasan terjejas.
"Harga di luar terlalu mahal, dan walaupun murah, simpanan saya sudah habis. Tiada sumber lain untuk mendapatkan wang. Kadang-kadang kami terpaksa meminjam, tetapi kini orang yang meminjamkan pun sudah kehabisan wang," kata seorang wanita, Hala Al-Harazeen.
Dapur amal itu merupakan sebahagian daripada projek penyediaan makanan bawah kempen Solid Structure, dikendalikan Algerian White Hands Association dengan dana daripada Wilayah El Oued.
Pada 14 Ogos lalu, lebih 100 organisasi bantuan antarabangsa menggesa Israel supaya menghentikan tindakan sekatan ke atas wilayah itu bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sejak awal Mac, tentera Israel mengekalkan sekatan di Gaza dengan menghalang kemasukan bantuan serta barangan komersial, sebelum membenarkan penghantaran terhad bantuan dan penurunan bekalan melalui udara dari beberapa negara.- VIORY