MORRISTOWN, 26 Mei- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menangguhkan pelaksanaan tarif 50 peratus ke atas Kesatuan Eropah (EU) sehingga 9 Julai, selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Menurut Trump, von der Leyen telah meminta lanjutan daripada tarikh asal 1 Jun untuk memberi ruang kepada rundingan yang lebih serius.
"Von der Leyen baru saja menghubungi saya... dan beliau minta lanjutan dari tarikh 1 Jun, serta menyatakan hasrat untuk memulakan rundingan secara serius.
"Dan saya setuju,” kata Trump kepada wartawan sebelum menaiki pesawat Air Force One di sini.
Von der Leyen dalam kenyataan di platform X turut menyatakan bahawa Eropah bersedia memulakan rundingan secara tegas dan segera demi mencapai kesepakatan yang adil.
Penangguhan itu dilihat meredakan ketegangan selepas Trump sebelum ini menyuarakan kekecewaan terhadap kemajuan rundingan perdagangan, dan mengancam untuk mengenakan tarif tinggi ke atas barangan EU.
Sementara itu, Menteri Kewangan Jerman, Lars Klingbeil, menggesa agar rundingan dijalankan secara matang, sambil memberi amaran bahawa langkah tarif itu turut menjejaskan ekonomi AS dan Eropah secara keseluruhan.- AFP
BERITA BERKAITAN: