WASHINGTON, 26 Mei - Tindakan tegas pentadbiran Trump terhadap kerjasama penyelidikan asing dan kemasukan pelajar antarabangsa bukan hanya menyasarkan Universiti Harvard, malah memberi ancaman lebih meluas kepada institusi pendidikan tinggi di seluruh Amerika Syarikat, menurut Persatuan Majlis Pendidikan Amerika (ACE).
Dalam satu temu bual bersama CCTV, Naib Presiden ACE Sarah Spreitzer menegaskan universiti lain seperti dalam sistem Universiti California turut menerima tekanan yang sama. “Ia bukan sekadar isu Harvard,” kata beliau, sambil memaklumkan bahawa pembiayaan geran penyelidikan turut dihentikan di institusi lain.
Terdahulu, pada 23 April lalu, seorang hakim persekutuan menghalang cubaan White House menyekat kemasukan pelajar antarabangsa ke Harvard, hanya beberapa jam selepas universiti itu memfailkan saman.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pula mengeluarkan amaran keras kepada semua institusi akademik bahawa kemasukan pelajar antarabangsa adalah “keistimewaan, bukan hak”, susulan dakwaan ketidakpatuhan Harvard terhadap undang-undang persekutuan.
ACE, yang mewakili lebih 1,700 institusi pendidikan tinggi, turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan membatalkan visa pelajar dan menamatkan rekod Sistem Maklumat Pelajar dan Pertukaran (SEVIS) tanpa penjelasan. Surat telah dihantar kepada Jabatan Negara dan DHS pada April, namun masih belum menerima maklum balas.
Spreitzer berkata ketidakstabilan dasar itu berisiko menjejaskan keputusan pelajar antarabangsa untuk datang ke AS, sekali gus boleh membawa kesan besar kepada ekonomi. “Tahun lalu sahaja, pelajar antarabangsa menyumbang AS$43 bilion kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Dengan semester musim luruh bakal bermula, sektor pendidikan tinggi AS kini berdepan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan bukan sahaja institusi akademik, tetapi juga kedudukan ekonomi Amerika Syarikat secara keseluruhan.-REUTERS