GAZA, 26 Mei- Seramai 22 individu disahkan maut, manakala puluhan lagi cedera dalam beberapa siri serangan udara oleh tentera Israel di seluruh Gaza pada Ahad.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, tujuh mangsa terkorban dalam serangan ke atas sebuah kediaman di Jabalia, utara Gaza.
"Sekurang-kurangnya 22 mayat, termasuk beberapa kanak-kanak, berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.
"Ramai lagi dipercayai masih tertimbus kerana kekurangan jentera dan peralatan penyelamat," katanya kepada AFP.
Dalam serangan berasingan di Nuseirat, dua mangsa turut terkorban termasuk seorang wanita hamil tujuh bulan selepas khemah perlindungan yang menempatkan pelarian menjadi sasaran.
Bayi dalam kandungan gagal diselamatkan.
Pengarah operasi pertahanan awam Gaza, Ashraf Abu Nar, dan isterinya juga maut apabila rumah mereka di kawasan sama dibom.
Serangan turut dilaporkan di Deir el-Balah, Beit Lahia dan bandar Khan Yunis.
Israel sehingga ke hari ini terus memperhebat serangan ke atas Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan lebih 3,700 penduduk terbunuh sejak gencatan senjata berakhir pada 18 Mac.
Jumlah keseluruhan korban kini mencecah lebih 53,000 orang, majoritinya orang awam.- AFP