fb fb fb fb fb

Insiden pelancaran kapal perang: Korea Utara tahan pegawai limbungan kapal

Gambar satelit menunjukkan sebuah kapal perang Korea Utara yang ditutupi kanvas biru selepas terlibat dalam kemalangan ketika pelancarannya di limbungan kapal di Chongjin, Korea Utara / REUTERS

CHONGJIN, 25 Mei- Korea Utara telah menahan beberapa pegawai kanan limbungan kapal susulan insiden besar yang berlaku ketika pelancaran kapal perang baharu negara itu, lapor media kerajaan pada Ahad.

Pelancaran kapal perang seberat 5,000 tan itu gagal, sekali gus mencemarkan imej Korea Utara. Insiden berkenaan turut disaksikan oleh pemimpin tertinggi, Kim Jong Un, yang dilaporkan berang dengan insiden memalukan tersebut.

Menurut sumber, kemalangan itu dipercayai berlaku di hadapan orang ramai di pelabuhan Chongjin, timur laut negara itu, sekali gus meningkatkan lagi rasa malu kepada Kim yang berusaha mempamerkan kehebatan ketenteraan Korea Utara.

Siasatan ke atas kejadian itu kini semakin giat dijalankan. Laporan agensi berita rasmi KCNA pada Ahad memaklumkan, antara yang ditahan ialah ketua jurutera Limbungan Kapal Chongjin.

Imej satelit menunjukkan kapal perang itu terbalik dan ditutup dengan kanvas biru, manakala bahagian buritan tersadai ke dalam pelabuhan, sementara haluan kapal masih terletak di atas landasan gelinciran.

Kim telah mengarahkan agar kapal tersebut dipulihkan sebelum mesyuarat parti pemerintah yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun. KCNA melaporkan, kerja-kerja baik pulih kini sedang dilaksanakan dengan giat.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE