fb fb fb fb fb

13 terbunuh dalam serangan dron terbesar Rusia ke atas Ukraine

Foto AFP

KIEV, 26 Mei - Seramai 13 orang termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh apabila Rusia melancarkan serangan dron terbesar ke atas Ukraine sejak perang bermula.

Sebanyak 298 dron dilancarkan dalam tempoh semalaman menjadikan ia jumlah tertinggi setakat ini dengan Ukraine berjaya menembak jatuh 266 dron dan 45 peluru berpandu.

Serangan turut mengorbankan penduduk di wilayah Kiev, Khmelnytskyi, Mykolaiv dan Zhytomyr.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menggesa tekanan antarabangsa lebih kuat terhadap Rusia, dan menuduh kesenyapan kuasa besar sebagai galakan kepada Presiden Vladimir Putin.

“Kesenyapan Amerika Syarikat dan pihak lain di seluruh dunia hanya menggalakkan Putin,” katanya, sambil menambah bahawa “sekatan tambahan pasti akan membantu.”

Beberapa pemimpin Barat turut mengecam serangan itu, termasuk Presiden AS Donald Trump dan menteri luar EU serta Jerman.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, turut menggesa “tekanan antarabangsa paling kuat terhadap Rusia bagi menghentikan perang ini.”

“Serangan malam tadi menunjukkan Rusia terus mahu menyemai penderitaan dan memusnahkan Ukraine. Sangat menyedihkan apabila melihat kanak-kanak menjadi mangsa tidak bersalah,” katanya di media sosial.

Serangan berlaku ketika kedua-dua negara menyelesaikan pertukaran tawanan terbesar sejak pencerobohan bermula melibatkan 1,000 tahanan dari kedua-dua pihak.

Zelensky mengesahkan pertukaran itu selesai selepas rundingan di Istanbul pada 16 Mei. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI