fb fb fb fb fb

Pengarah GHF umum letak jawatan serta-merta

Foto AFP

WASHINGTON, 26 Mei- Ketua sebuah organisasi bantuan tajaan Amerika Syarikat (AS) yang merancang menyalurkan bantuan ke Gaza mengumumkan peletakan jawatan serta-merta, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang hala tuju operasi tersebut.

Pengarah Eksekutif Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), Jake Wood dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mendapati pelaksanaan misi organisasi tersebut tidak lagi selari dengan prinsip kemanusiaan sejagat.

GHF yang berpangkalan di Geneva sejak Februari lalu merancang untuk mengagihkan sekitar 300 juta hidangan makanan dalam tempoh tiga bulan pertama operasinya.

Bagaimanapun, agensi bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan GHF susulan dakwaan organisasi itu menjalin kerjasama dengan pihak Israel.

Penubuhan GHF sebelum ini dibuat ketika tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin meningkat berhubung krisis kemanusiaan di Gaza.

Sekatan penuh ke atas Gaza selama lebih dua bulan hanya mula dilonggarkan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, ketika agensi kemanusiaan antarabangsa terus memberi amaran mengenai risiko kebuluran yang semakin memburuk.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan lebih 3,700 individu maut sejak gencatan senjata ditamatkan pada 18 Mac lalu.

Jumlah keseluruhan korban sejak konflik tercetus pada Oktober 2023 kini melebihi 53,000 orang, majoritinya terdiri daripada orang awam.

Wood turut menggesa Israel melonggarkan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menyeru semua pihak agar terus mencari pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam usaha penyaluran bantuan tanpa sebarang diskriminasi, kelewatan atau penyelewengan. — AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM