GAZA, 26 Mei – Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan dua anggotanya, Ibrahim Eid dan Ahmad Abu Hilal, terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di Khan Younis pada Sabtu lalu.
Dalam kenyataannya, ICRC mengecam sekeras-kerasnya insiden tersebut dan menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai serangan yang disengajakan terhadap petugas kemanusiaan.
Salah seorang petugas ICRC, Ali Abu Hashem berkata, kedua-dua mangsa sentiasa bertugas di kawasan konflik dan bukan ancaman kepada Israel.
“Mereka menjadi sasaran ketika sedang berehat seketika daripada tugas. Setiap hari mereka bekerja sehingga 16 jam dalam memberikan khidmat kepada orang ramai, dan semua orang mengenali mereka sebagai petugas Palang Merah.
"Ibrahim Eid, sebelum ini pernah menjadi penyelaras perhubungan awam untuk Palang Merah dan bertugas mengiringi delegasi antarabangsa, manakala Ahmad pula sentiasa melindungi mereka sebagai pengawal keselamatan.
"Mereka tidak pernah menjadi ancaman kepada pendudukan Israel. Namun, mereka tetap menjadi sasaran di luar waktu tugas.” tegas Ali.
ICRC turut menggesa gencatan senjata segera dan menuntut perlindungan terhadap orang awam termasuk petugas perubatan, kemanusiaan dan pertahanan awam.
Setakat ini, 53,900 rakyat Palestin dilaporkan terkorban.
Rantau itu turut mengalami kemusnahan besar, dengan kumpulan bantuan memberi amaran bahawa tanda-tanda kekurangan zat makanan serius kini semakin meluas.