GAZA, 26 Mei – Tentera Israel kini dilaporkan menguasai 77 peratus wilayah Gaza menerusi operasi ketenteraan berterusan yang menyebabkan ramai hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian.
Perkara itu didedahkan, Pejabat Media Kerajaan yang dikendalikan Hamas pada Ahad.
Kenyataan itu menuduh Israel menggunakan pencerobohan darat, pendudukan ketenteraan, pengeboman intensif serta pemindahan paksa sebagai strategi mengusir puluhan ribu rakyat Palestin dari kediaman mereka.
Tindakan itu disifatkan sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pejabat tersebut turut menggesa komuniti antarabangsa agar melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan secara serius dan memberi amaran tentang implikasi besar sekiranya kawalan Israel ke atas Gaza diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 23 penduduk terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel, termasuk seorang wartawan tempatan dan seorang anggota penyelamat. Tentera Israel belum memberikan sebarang kenyataan balas.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan bahawa 38 mayat dan 204 individu cedera telah dibawa ke hospital di seluruh wilayah itu dalam tempoh 24 jam lalu.
Sejak tercetusnya konflik berskala besar pada Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel telah meragut 53,939 nyawa dan mencederakan 122,797 orang, menurut rekod kementerian.
Angka korban terus meningkat sejak Israel menyambung semula operasi udara dan darat besar-besaran bermula 18 Mac lalu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 3,785 orang terbunuh dan 10,756 lagi cedera.