(Taman Hojo antara yang terletak dalam kawasan Kuil Tofukuji/FOTO www.japan-guide.com)
TOKYO, 18 Oktober- Seorang lelaki Jepun yang bertugas memelihara warisan budaya, secara tidak sengaja mengundur keretanya ke arah tapak tandas tertua di negara itu, di sebuah kuil Buddha yang berusia berabad-abad, kata polis hari ini.
Kuil Tofukuji di wilayah Kyoto barat menempatkan tandas yang dikatakan wujud sejak abad ke-15, menjadikan ia sebagai aset budaya yang penting.
Bagaimanapun, polis memaklumkan, pintu kayu asal yang menuju ke tapak itu 'musnah' selepas pemandu, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Persatuan Pemeliharaan Warisan Kyoto, secara tidak sengaja mengundurkan keretanya ke arah tandas itu, pagi semalam.
Selepas meletak kenderaan di hadapan tandas berkenaan, lelaki itu menekan pedal minyak untuk menghidupkan semula keretanya, tanpa menyedari kenderaan itu masih dalam keadaan untuk mengundur.
"Kami dimaklumkan, ia akan memerlukan banyak kerja untuk memulihkannya," kata seorang pegawai polis Kyoto kepada AFP.
Seorang pegawai Kyoto yang bertanggungjawab dalam pemeliharaan warisan budaya, Norihiko Murata, memaklumkan kepada AFP, dinding di bahagian dalam tapak itu juga mengalami kerosakan kecil, namun tandas sebenar, membabitkan dua barisan lubang, terselamat.
(Kuil Tofukuji di wilayah Kyoto barat menempatkan tandas yang dikatakan wujud sejak abad ke-15,
menjadikan ia sebagai aset budaya yang penting/FOTO www.japan-guide.com)
Tandas itu secara tradisinya digunakan oleh sami sebagai sebahagian daripada latihan pertapaan mereka, namun ia tidak lagi digunakan.
"Sudah tentu ia mengecewakan, yang mana sebahagian daripada harta budaya yang penting ini sudah rosak seperti ini.
"Kami akan membincangkan langkah memulihkannya dengan cara yang akan mengekalkan sebanyak mungkin nilai budayanya," kata Murata. - AFP