KATHMANDU, 12 Julai- Di Nepal, sekurang-kurangnya 63 orang hilang selepas bas yang dinaiki dihanyutkan arus sungai deras berpunca daripada kejadian tanah runtuh pada Jumaat.
Berpuluh-puluh anggota pasukan penyelamat sedang bertugkus lumus mencari mangsa terselamat dalam kejadian yang berlaku di daerah tengah Chitwan, kata pegawai daerah Khimananda Bhusal kepada AFP.
Bhusal berkata, bas itu membawa sekurang-kurangnya 66 orang penumpang, tiga daripadanya berjaya menyelamatkan diri sebelum bas tersebut jatuh ke dalam sungai Trushuli.
Mangsa terselamat kini dirawat di hospital.
“Kami tidak pasti jumlah keseluruhannya kerana bas itu mungkin ada mengambil penumpang lain sebelum insiden itu berlaku,” katanya.
Kemalangan itu berlaku di sepanjang lebuh raya Narayanghat-Mugling, kira-kira 100 kilometer (60 batu) ke barat ibu kota Kathmandu pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan.
Sebuah bas sedang menuju dari ibu kota Kathmandu ke Gaur di daerah Rautahat di selatan Nepal dan sebuah lagi dalam perjalanan ke Kathmandu dari selatan Birgunj.
Sementara itu, seorang pemandu maut dalam kemalangan berasingan di jalan yang sama selepas batu besar merempuh atas basnya. Dia meninggal dunia ketika dia dirawat di hospital.
Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal melahirkan rasa sedih atas kemalangan itu dalam satu catatan di platform media sosial X.
“Saya mengarahkan semua agensi kerajaan termasuk pentadbiran dalam negeri untuk mencari dan menyelamatkan penumpang dengan berkesan,” katanya.
Kemalangan maut adalah perkara biasa di republik Himalaya kerana jalan raya yang dibina dengan buruk, kenderaan yang diselenggara dengan teruk dan pemanduan yang melulu.-AFP