fb fb fb fb fb

32 lagi penduduk Gaza majoriti wanita dan kanak-kanak maut dalam serangan terbaharu Israel

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 12 Julai- Seramai 32 lagi penduduk Gaza terbunuh dalam siri serangan terbaharu oleh tentera Israel, kata kementerian kesihatan di wilayah Palestin pada Jumaat.

Pertempuran berlaku dari utara ke selatan wilayah pantai ketika perbincangan diteruskan ke arah mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Dalam satu kenyataan ringkas, kementerian kesihatan Gaza berkata "32 syuhada, majoritinya kanak-kanak dan wanita".

Media Hamas melaporkan lebih 70 serangan udara dilancarkan Israel di beberapa bahagian wilayah itu. Ini termasuk lokasi di Bandar Gaza di utara, kem pelarian Nuseirat, bersama-sama dengan Khan Yunis dan Rafah di selatan, kata Hamas.

Tentera Israel pada Jumaat berkata tentera meneruskan operasi di Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

“Sejak beberapa hari lalu, tentera menghapuskan banyak pengganas dalam pertempuran jarak dekat dan serangan udara, serta memusnahkan infrastruktur pengganas di kawasan itu,” kata satu kenyataan tentera.

"Di tengah Gaza, Israel membunuh sejumlah besar tentera Hamas serta memusnahkan lokasi menempatkan bengkel pengeluaran senjata dan sejumlah besar dana digunakan untuk aktiviti Hamas," kata kenyataan itu.

Sementara di Beit Hanoun di utara Gaza, pesawat Israel menyerang sasaran di kawasan dari mana peluru ditembak ke selatan Israel pada Khamis, tambah tentera.

Pada Khamis juga, kira-kira 60 mayat ditemui di bawah runtuhan kejiranan Shujaiya timur Kota Gaza, kata agensi Pertahanan Awam Gaza.

Penemuan itu berlaku selepas tentera Israel menamatkan operasi dua minggu yang dikatakan oleh Pertahanan Awam Gaza dan penduduk telah meninggalkan kawasan itu dalam runtuhan.

Jurucakap Pertahanan Awam Mahmud Bassal berkata 85 peratus bangunan kini tidak boleh didiami dan Shujaiya telah ditinggalkan sebagai "zon bencana".

Pada Rabu tentera Israel memaksa semua penduduk Kota Gaza, untuk meninggalkan kawasan yang mereka panggil "zon tempur berbahaya".

Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata terdapat sehingga 350,000 orang penduduk di bandar itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE