BEIJING, 12 Julai- China pada Jumaat memaklumkan sedang menjalankan latihan ketenteraan bersama dengan Rusia di sepanjang pantai selatannya, selepas pakatan pertahanan Barat yang diketuai AS bertemu di Washington dan Jepun memberi amaran tentang ancaman yang semakin meningkat daripada hubungan kukuh Beijing dengan Moscow.
Kementerian pertahanan China berkata kedua-dua tentera telah memulakan latihan, dalam eksesais yang dikenali sebagai Joint Sea-2024 sejak awal bulan ini dan ia akan berlangsung sehingga pertengahan bulan.
Latihan di perairan dan ruang udara di sekitar Zhanjiang, sebuah bandar di wilayah selatan Guangdong, adalah "untuk menunjukkan keazaman dan keupayaan kedua-dua pihak dalam bersama-sama menangani ancaman keselamatan maritim dan memelihara keamanan dan kestabilan global dan serantau", kata kementerian itu.
Ia menambah bahawa latihan itu "akan memperdalam lagi perkongsian strategik komprehensif China-Rusia bagi koordinasi untuk era baharu".
Pengumuman latihan itu dibuat pada minggu yang sama ketika pemimpin NATO bersidang di Washington untuk mengesahkan sokongan terhadap Ukraine.
China dan Rusia semakin rapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan menggembar-gemburkan persahabatan mereka sebagai "tiada had", dan kedua-duanya berkongsi hubungan bermusuhan dengan NATO.
Pemimpin NATO berkata dalam satu deklarasi pada hari Rabu bahawa China telah "menjadi pemboleh yang menentukan" pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, mendorong Beijing untuk memberi amaran kepada NATO terhadap "konfrontasi provokasi".
China menegaskan bahawa ia bukan parti kepada konflik Ukraine tetapi telah dikritik oleh pemimpin Barat kerana memberikan sokongan politik dan ekonomi kepada Rusia, termasuk dalam perdagangan barangan dengan kedua-dua kegunaan awam dan tentera.
Tentera China juga mengadakan latihan minggu ini dengan Belarus, satu lagi sekutu Rusia, di sempadan timur NATO.
Semengara itu Jepun berkata pada Jumaat bahawa aktiviti bersama China-Rusia berhampiran wilayahnya menimbulkan "kebimbangan besar daripada perspektif keselamatan negara".-AFP