fb fb fb fb fb

Tanah Runtuh di Jawa Tengah : Dua maut, 21 hilang

Pasukan penyelamat mencari mangsa terselamat selepas tanah runtuh menimbus beberapa rumah di Kampung Cibeunying, daerah Cilacap, Jawa Tengah/AFP

JAWA TENGAH, 14 November - Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa terselamat selepas tanah runtuh melanda beberapa kampung di wilayah Jawa Tengah, Indonesia.

Menurut media tempatan agensi SAR, tanah runtuh yang berlaku di kawasan Cilacap lewat Khamis itu mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan menyebabkan 21 lagi hilang.

Rakaman televisyen menunjukkan runtuhan rumah yang musnah ketika jentolak membersihkan kawasan berlumpur di lokasi kejadian.

“Sehingga pagi Jumaat, pasukan gabungan telah menyelamatkan 23 orang yang masih hidup. Dua mangsa ditemukan meninggal dunia, dan 21 lagi masih dalam pencarian,” kata jurucakap agensi bencana negara, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Beliau berkata keadaan tanah yang tidak stabil menyukarkan usaha menyelamat dan jentera berat telah digerakkan untuk membantu operasi.

Amaran cuaca ekstrem telah dikeluarkan awal minggu ini oleh Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik.

Agensi itu memberi amaran bahawa keadaan tersebut boleh menyebabkan bencana hidrometeorologi dan beberapa wilayah di Indonesia mungkin mengalami hujan lebat dalam minggu-minggu akan datang.

Musim monsun tahunan di Indonesia, lazimnya antara November hingga April sering menyebabkan kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air. -REUTERS/AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ