ACEH, 10 Disember - Penduduk di kawasan tanah tinggi di Aceh, Sumatera, berdepan kesukaran mendapatkan bekalan harian selepas laluan antara dua bandar utama terputus akibat tanah runtuh susulan banjir besar minggu lalu.
Mereka memaklumkan bahawa terpaksa meredah cuaca sejuk dan laluan berlumpur selama berjam-jam untuk mendapatkan makanan serta bahan api.
Menurut beberapa penduduk yang ditemui, perjalanan pergi dan balik boleh mengambil masa sehingga lima jam melalui denai tanah yang merupakan satu-satunya laluan alternatif selepas jalan utama runtuh.
Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan taufan kini mencecah 967 orang, dengan 262 lagi masih hilang, menurut data rasmi setakat Rabu.
Pihak berkuasa tempatan di Sumatera menyeru kerajaan pusat di Jakarta supaya mengisytiharkan darurat nasional bagi membolehkan lebih banyak dana digerakkan untuk operasi menyelamat dan bantuan kecemasan. -REUTERS