fb fb fb fb fb

Taliban tahan tiga warga Britain

(Bintang YouTube Miles Routledge adalah antara tiga warga Britain yang ditahan Taliban / TWITTER)

LONDON, 2 April- Tiga lelaki warga Britain telah ditahan oleh Taliban di Afghanistan.

Kumpulan NGO, UK Presidium Network mengesahkan perkara itu pada Sabtu.

Kumpulan itu berkata di Twitter mereka telah berhubung rapat dengan dua keluarga mangsa.

"Kami bekerja keras untuk berhubung dengan warga Britain yang ditahan di Afghanistan melalui kaunselor dan kami menyokong keluarga mereka," tambah kementerian luar UK dalam satu kenyataan.

Scott Richards dari UK Presidium Network memberitahu Sky News: "Kami percaya mereka berada dalam keadaan sihat dan mendapat layanan baik.

"Kami tidak mempunyai sebab untuk mempercayai mereka telah diberikan layanan buruk seperti penyeksaan dan kami diberitahu bahawa mereka berada dalam keadaan baik."

Dua daripada mangsa dipercayai telah ditahan oleh Taliban sejak Januari.

Bagaimanapun, tidak diketahui berapa lama mangsa ketiga ditahan.

Laporan media menyebut ketiga-tiga mangsa adalah sukarelawan perubatan Kevin Cornwell, 53, pengurus hotel petugas bantuan yang tidak dinamakan dan bintang YouTube Miles Routledge.

Presidium di Twitter menggesa Taliban untuk membebaskan kesemua lelaki tersebut dan menganggap penahanan tersebut sebagai salah faham.

Tahun lalu Taliban membebaskan seorang jurukamera televisyen veteran dan empat lagi warga Britain yang ditahan selama enam bulan.

Kementerian luar Britain berkata kelima-lima mereka "tidak mempunyai peranan dalam kerja kerajaan UK di Afghanistan dan mengabaikan larangan perjalanan ke Afghanistan."

"Ini adalah satu kesilapan," tambahnya.

Pada masa itu, jurucakap kerajaan Afghanistan Zabihullah Mujahid menuduh rakyat Britain "menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara dan tradisi rakyat Afghanistan".

"Selepas pertemuan antara IEA (Emiriah Islam Afghanistan) dan Britain, mereka dibebaskan... dan diserahkan kepada negara asal mereka," katanya.

“Mereka berjanji untuk mematuhi undang-undang Afghanistan, tradisi dan budaya rakyatnya dan tidak akan melanggarnya lagi,” tambahnya.

Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021 dan sejak itu mencetuskan kemarahan global gara-gara polisinya yang terlampau keras terhadap golongan wanita.-AFP


(Sukarelawan perubatan Kevin Cornwell adalah antara
tiga warga Britain yang ditahan Taliban / TWITTER)

Media Baharu