fb fb fb fb fb

Taliban, Barat adakan rundingan di Oslo

FOTO AFP

OSLO, 24 Januari- Taliban memulakan rundingan dengan diplomat Barat dalam lawatan pertama mereka ke Eropah sejak kembali berkuasa bagi membincangkan krisis kemanusiaan di Afghanistan.

Delegasi Taliban yang diketuai Menteri Luar, Amir Khan Muttaqi, mengadakan perbincangan tertutup dengan wakil Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Jerman, Itali, Kesatuan Eropah (EU) dan Norway di Hotel Soria Moria, di puncak bukit bersalji di luar Oslo.

Keadaan kemanusiaan di Afghanistan dilaporkan merosot secara drastik sejak Ogos lalu apabila Taliban kembali berkuasa, 20 tahun selepas digulingkan.

Bantuan antarabangsa terhenti, memburukkan lagi nasib berjuta-juta rakyatnya yang sedang menderita kebuluran selepas beberapa musim kemarau yang teruk.

Wakil khas AS untuk Afghanistan, Thomas West menerusi kenyataan di Tweeter memaklumkan, pihaknya akan meneruskan diplomasi dengan Taliban.

"Ketika kami berusaha untuk menangani krisis kemanusiaan bersama sekutu, rakan kongsi, dan organisasi bantuan, kami akan meneruskan diplomasi yang jelas dengan Taliban.

Kebimbangan dan minat kami yang berterusan adalah untuk melihat Afghanistan yang stabil, menghormati hak asasi manusia dan inklusif," katanya.

Setakat ini belum ada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban.

Menteri Luar Norway, Anniken Huitfeldt minggu lalu menegaskan, rundingan tersebut tidak membawa maksud negara itu memberi pengiktirafan kepada Taliban walaupun ia dikritik hebat oleh beberapa pakar dan ahli diaspora Afghanistan.

"Kita mesti berbincang dengan pihak yang memegang kuasa di negara ini kerana kita tidak boleh membiarkan keadaan politik membawa kepada bencana kemanusiaan yang lebih teruk," katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid berkata, Taliban berharap rundingan tersebut akan membantu mengubah suasana perang menjadi aman.

Sejak Ogos, bantuan antarabangsa, yang membiayai sekitar 80 peratus daripada belanjawan Afghanistan, telah digantung dan AS membekukan $9.5 bilion aset di bank pusat Afghanistan.

Pengangguran semakin meningkat dan gaji kakitangan awam tidak dibayar selama berbulan-bulan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, kebuluran kini mengancam 23 juta rakyat Afghanistan, atau 55 peratus daripada penduduknya.

$4.4 bilion diperlukan daripada negara penderma tahun ini untuk menangani krisis tersebut.- AFP

Media Baharu