fb fb fb fb fb

Darurat kesihatan global COVID-19 boleh ditamatkan tahun ini

FOTO AFP

GENEVA, 24 Januari- Darurat kesihatan global COVID-19 boleh ditamatkan tahun ini walaupun virus itu dilaporkan membunuh seseorang setiap 12 saat pada minggu lalu.

Ketua Pengarah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, untuk mencapai sasaran tersebut, setiap negara perlu bekerja keras dalam memastikan pengagihan seimbang vaksin dan rawatan, penjejakan virus serta pelaksanaan sekatan bagi membendung wabak.

"WHO selama ini menuntut negara pengeluar vaksin mempercepat pengedaran vaksin ke negara miskin, selain menyeru semua negara untuk memvaksin sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi mereka menjelang pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, separuh daripada 194 negara anggota WHO terlepas sasaran untuk memastikan 40 peratus rakyat mereka divaksin menjelang akhir 2021 dan 85 peratus penduduk di Afrika masih belum menerima walau satu pun suntikan," katanya.

Mengulas lanjut, fasa kecemasan pandemik COVID-19 tidak dapat ditamatkan, selagi masih terdapat jurang antara negara.

“Secara purata minggu lepas, 100 kes dilaporkan setiap tiga saat, dan seseorang kehilangan nyawa akibat COVID-19 setiap 12 saat,” tambahnya.

Sejak varian Omicron dikesan di Afrika Selatan sembilan minggu lalu, 80 juta kes telah dilaporkan, melebihi angka yang dicatat sepanjang tahun 2020.

Dr. Tedros turut mengingatkan supaya masyarakat dunia tidak menganggap Omicron sebagai varian yang terakhir.

Malah, terdapat potensi tinggi untuk varian lain yang lebih berbahaya muncul selepas ini.- AFP

Media Baharu