TAIPEI, 10 Disember-Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan lonjakan aktiviti ketenteraan China di sekitar perairannya pada Selasa.
Menurut kenyataan kementerian negara berkenaan pada Selasa, sebanyak 47 pesawat tentera dikesan beroperasi di sekitar pulau itu dalam tempoh 24 jam, bersama-sama 12 kapal tentera laut dan sembilan kapal termasuk pengawal pantai.
Daripada jumlah itu, 26 pesawat mencerobohi ruang udara di kawasan utara Taiwan berhampiran pesisir wilayah Zhejiang di China, enam di Selat Taiwan, dan 15 lagi di barat pulau itu, berdasarkan peta yang disediakan oleh kementerian.
Sumber keselamatan senior Taiwan memberitahu Reuters bahawa pesawat China melakukan simulasi serangan ke atas kapal tentera laut asing dan latihan menghalau pesawat tentera serta awam sebagai sebahagian daripada "latihan sekatan."
Negara itu kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas kepulangan Presidennya, Lai Ching-te daripada lawatan ke Amerika Syarikat minggu lalu.
China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, dijangka melancarkan latihan ketenteraan sebagai reaksi terhadap lawatan Presiden Lai Ching-te ke Pasifik yang berakhir Jumaat lalu.
Lawatan tersebut termasuk persinggahan di Hawaii dan wilayah Guam milik AS.
Presiden Lai dan kerajaannya menolak tuntutan Beijing, dengan menegaskan hanya rakyat Taiwan berhak menentukan masa depan mereka.
China pula menyifatkan isu Taiwan sebagai teras kepentingan utamanya" dan garisan merah yang tidak boleh dilanggar oleh Amerika Syarikat.
Tahun ini, China telah menjalankan dua latihan perang besar di sekitar Taiwan.-REUTERS.