fb fb fb fb fb

Syria: Israel musnahkan tapak ketenteraan utama selepas kejatuhan Assad

DAMSYIK, 10 Disember-Israel dilaporkan telah melancarkan kira-kira 250 serangan udara ke atas wilayah Syria dalam tempoh 48 jam, menyasarkan tapak ketenteraan utama rejim bekas Presiden Bashar al-Assad, menurut badan pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights.

Badan pemantau berkenaan yang berpangkalan di Britain menyatakan Israel telah memusnahkan tapak ketenteraan paling penting di Syria, termasuk lapangan terbang, skuadron pesawat, radar, stesen isyarat ketenteraan, serta gudang senjata dan peluru di kebanyakan wilayah Syria.

Di sekitar bandar pelabuhan Latakia, serangan Israel telah menyasarkan kemudahan pertahanan udara dan merosakkan kapal tentera laut Syria serta gudang ketenteraan.

Manakala di ibu kota, Damsyik dan kawasan sekitarnya, serangan memfokuskan kepada kilang pemasangan ketenteraan dan pusat penyelidikan tentera.

Letupan kuat dilaporkan kedengaran di Damsyik awal pagi Selasa, menurut wartawan AFP, hanya beberapa jam selepas serangan dilaporkan.

Israel turut menghantar tentera ke zon penampan di sebelah timur Bukit Golan yang diduduki Israel, selepas kejatuhan rejim Assad.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah terhad dan sementara" atas sebab-sebab keselamatan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD