BEIJING, 10 Disember- China telah menahan bekas Menteri Pertanian dan Setiausaha Parti Komunis, Tang Renjian, atas tuduhan rasuah, menurut kenyataan pihak pendakwa tertinggi negara itu pada Selasa.
"Baru-baru ini, Mahkamah Agung Rakyat telah membuat keputusan untuk menahan Tang Renjian atas tuduhan menerima rasuah mengikut undang-undang," kata kenyataan dari Mahkamah Agung Rakyat.
Kes tersebut telah diselesaikan oleh Suruhanjaya Penyeliaan Negara dan kini sedang melalui proses lanjut.
Keputusan penahanan Tang dibuat dengan pantas dan merupakan sebahagian daripada kempen besar-besaran anti-rasuah Presiden Xi Jinping, yang turut menyasarkan bekas Menteri Pertahanan, Li Shangfu dan pendahulunya, Wei Fenghe.
Tang, 62 tahun, telah dikeluarkan daripada senarai kepimpinan kementerian di laman web rasmi pada Mei lalu dan dipecat daripada Parti Komunis enam bulan kemudian.
Media rasmi melaporkan Tang didapati melanggar peraturan menerima hadiah dan wang tunai, menggunakan kuasanya untuk membantu perniagaan ahli keluarga serta campur tangan dalam aktiviti kehakiman.
Menurut laporan harian Beijing Daily, Tang kali terakhir dilihat di khalayak umum tiga hari sebelum beliau disiasat, semasa masih memegang jawatan.
Tang sebelum ini merupakan gabenor wilayah barat Gansu dari tahun 2017 hingga 2020 sebelum dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar.- REUTERS