fb fb fb fb fb

Syria: Kumpulan penentang kerajaan mula bincang peralihan kuasa

Penduduk berkumpul di penjara Sednaya di Damsyik bagi mencari ahli keluarga atau saudara mara yang dipenjarakan semasa pemerintahan Bashar al-Assad/AFP

DAMSYIK, 10 Disember -Pemimpin kumpulan penentang kerajaan memulakan perbincangan untuk peralihan kuasa, sehari selepas sekutu kumpulan itu berjaya menggulingkan Presiden Bashar al-Assad yang dikatakan melaksanakan pemerintahan kejam sejak berdekad lalu.

Bashar meninggalkan Syria sebaik kumpulan penentang kerajaan memasuki ibu negara pada Ahad; membawa kejayaan menakjubkan bagi kumpulan penentang juga menamatkan pemerintahan kejam pimpinan Bashar selama lima dekad.

Bashar didakwa mengarahkan tindakan keras terhadap gerakan demokrasi yang tercetus pada 2011, mencetuskan perang saudara sehingga menyebabkan 500,000 orang terbunuh dan memaksa lebih separuh daripada jumlah penduduk Syria meninggalkan kediaman sementara jutaan melarikan diri ke luar negara.

Salah seorang pemimpin penentang kerajaan, Abu Mohammed al-Jolani, kini menggunakan nama sebenarnya Ahmed al-Sharaa, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Mohammed al-Jalali.

Menurut kenyataan disiarkan melalui Telegram kumpulan penentang kerajaan, pertemuan itu bagi menyelaras pemindahan kuasa seterusnya memberi jaminan untuk penyediaan perkhidmatan kerajaan," untuk rakyat Syria.

Teras sistem pemerintahan Bashar yang diwarisi daripada bapanya, Hafez, iaitu kompleks penjara dan pusat tahanan yang digunakan untuk menghapuskan mereka yang keluar daripada parti pemerintah, Baath.

Menurut wartawan FP, beribu-ribu rakyat Syria berkumpul pada Isnin di luar penjara yang sinonim dengan kekejaman terburuk pemerintahan Assad untuk mencari saudara mara, kebanyakan mereka telah menghabiskan masa bertahun-tahun di kemudahan Saydnaya, luar Damsyik.

Pasukan penyelamat dari kumpulan White Helmet Syria sebelum ini menyatakan mereka telah berusaha mencari pintu rahsia atau ruang masuk ke bawah tanah, di Saydnaya.

“Saya mencari seperti orang gila untuk masuk ke penjara,” kata Aida Taha 65 tahan, yang mencari adiknya; ditahan pada 2012.

“Tetapi saya diberitahu, masih ada banduan berada di ruang bawah tanah, merangkumi tiga atau empat tingkat.”

Sementara itu, sekumpulan tawanan yang dibebaskan dilihat berkeliaran di jalan-jalan Damsyik; dapat dibezakan dengan tanda-tanda penyiksaan seperti cacat anggota badan, kelihatan lemah akibat penyakit dialami dan kurus kerana kelaparan.

Syria berdepan konflik peperangan selama lebih 13 tahun, namun kejatuhan kerajaan berlaku hanya dalam beberapa hari lalu dalam serangan diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).

Mimpi ngeri

Di tengah Damsyik, pada Isnin meskipun belum ada kepastian kestabilan politik pada masa hadapan, kegembiraan rakyat dapat dirasai.

“Ia tidak dapat digambarkan. Kami tidak pernah terfikir mimpi ngeri selama ini akan berakhir,” kata Rim Ramadan, kakitangan kerajaan di Kementerian Kewangan kepada AFP.

“Selama bertahun-tahun, kami bimbang untuk bersuara walaupun di rumah. Kami pernah menyatakan “dinding ada telinga”, tambah Ramadan tatkala penduduk membunyikan hon kenderaan, manakala kumpulan penentang kerajaan melepaskan tembakan ke udara.

Menurut penyokong, Parlimen Syria sebelum ini pro-Assad sama seperti perdana menteri, berjanji akan menyokong “kehendak rakyat untuk pembangunan Syria baharu demi masa depan lebih baik serta dikawal undang-undang dan keadilan.”

Parti Baath menyatakan, mereka akan menyokong “fasa peralihan di Syria bertujuan mempertahankan perpaduan negara.”

Logo televisyen Syria di aplikasi Telegram kini memaparkan bendera kumpulan penentang kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Ketika serangan pada 27 November lalu, kumpulan penentang kerajaan hanya menerima sedikit tentangan sebelum berjaya merampas bandar demi bandar daripada kawalan Bashar, membuka pintu utama penjara dan membebaskan puluhan ribu orang, kebanyakan mereka ditahan atas kesalahan politik.

Bagi sesetengah penduduk seperti Fadwa Mahmoud, dia memuat naik maklumat di media sosial bagi mencari suami dan anaknya yang masih hilang.

“Dimana anda, Maher dan Abdel Aziz? Masanya untuk saya ketahui dimana. Ya Allah mohon kembalikan,” tulis Mahmoud, yang juga bekas tahanan.

Dikatakan berasal daripada Al-Qaeda, HTS dikategorikan barat sebagai kumpulan pengganas.

Dalam satu kenyataan, Jerman dan Perancis menyatakan bersedia untuk menjalin kerjasama dengan pimpinan baharu kerajaan Syria. “atas asas hak asasi manusia dan perlindungan minoriti etnik dan agama."  

Perdana Menteri UK, Keir Starmer yang berada di Arab Saudi pada Isnin berkata, HTS perlu menolak “keganasan dan kekejaman” jika mahu Britain bekerjasama dengan kumpulan yang dikategorikan “pengganas” oleh mereka sendiri.

Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata AS – yang telah menempatkan ratusan tenteranya di Syria sebagai pakatan untuk memerangi kumpulan militan Daesh di Syria, terus bertekad untuk bertindak ke arah sama.

“Matlamat kami jelas untuk melakukan apa sahaja termampu, mengelak sebarang perpecahan di Syria, penghijrahan besar-besaran penduduk dan sudah tentu memastikan tiada unsur “keganasan dan ekstremisme," kata Blinken.

Serangan Israel, Turki

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekankan, siapa sahaja yang berkuasa di Syria perlu bertanggungjawab kepada masalah berbangkit pemerintahan regim Bashar.

Namun, bagaimana Bashar akan diadili nanti masih belum jelas, terutama selepas Kremlin pada Isnin enggan mengesahkan laporan agensi berita Rusia bahawa Bashar telah melarikan diri ke Moscow.

Bagaimanapun, Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata jika Rusia mahu memberi suaka kepada Bashar dan keluarganya, ia adalah keputusan diambil Presiden Vladimir Putin.

Kedutaan Syria di Moscow dilapor mengibarkan bendera pembangkang. Menurut Kremlin mereka akan membincangkan status pangkalannya di Syria bersama-sama pimpinan baharu.

Rusia memainkan peranan utama dalam mengekalkan penguasaan Bashar; campur tangan secara langsung dalam perang saudara di Syria bermula pada 2015 dan menyediakan perlindungan udara semasa tempoh pemberontakan.

Israel yang bersempadan dengan Syria juga telah menghantar tenteranya ke zon penampan di timur Bukit Golan sebaik Bashar digulingkan. Menteri Luar Israel, Gideon Saar menyifatkan ia sebagai "langkah terhad sementara” atas sebab "keselamatan".

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan lebih 100 serangan udara dilepaskan dari Israel untuk “memusnahkan keupayaan tentera bekas rejim itu."

Ini bertentangan dengan depot senjata, bot tentera laut kerajaan Bashar, dan pusat penyelidikan yang disyaki negara Barat mempunyai kaitan dengan pengeluaran senjata kimia, kata badan pemantau itu.

Hizbullah mengutuk serangan udara itu, meskipun dikatakan bersekutu dengan Bashar dan mengecam tindakan rejim Israel kerana menduduki lebih banyak kawasan di Bukit Golan.

Di Utara Syria, serangan dron Turki mengena kawasan dikuasai Kurdi, menyebabkan 11 orang awam terbunuh, enam daripada mangsa adalah kanak-kanak. Perkara itu dinyatakan Badan Pemantau berpangkalan di Britain.

MAT YUNUS BIN SABRI