TAIPEI, 29 November- Taiwan melantik wakil negara itu ke Kesatuan Eropah (EU), Alexander Yui sebagai duta baharu ke Amerika Syarikat menggantikan Hsiao Bi-khim yang bertanding sebagai calon naib Presiden pada pilihan raya negara itu.
Hsiao Bi-khim sebelum ini yang dikenali berpengaruh dan mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS) meletakkan jawatan bulan ini bagi bertanding jawatan naib Presiden bersama Lai Ching-te yang bertanding bagi merebut jawatan Presiden pada pilihan raya yang dijadualkan pada 13 Januari tahun depan.
Amerika Syarikat dianggap sebagai rakan sekutu utama dan pembekal persenjataan paling utama Taiwan, meskipun, AS tidak mengiktiraf negara kepulauan tersebut secara rasmi.
President Tsai Ing-wen berharap agar duta baharu, Alexander Yui dapat menggunakan kepakaran dan pengalamannya bagi mempromosi dan meneruskan hubungan erat yang terjalin di antara Taiwan dan AS selama ini.
Yui sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Luar dan melaksanakan operasi pejabat Taiwan di Geneva.
Kekosongan yang ditinggalkan Yui di Brussels akan diisi oleh Timbalan Menteri Luar Taiwan, Roy Lee, kata pejabat Presiden Taiwan.-REUTERS