fb fb fb fb fb

Taikun minuman ringan Vietnam kena penjara lapan tahun

FOTO AFP

HO CHI MINH CITY, 25 April- Taikun minuman ringan terkenal Vietnam dipenjarakan selama lapan tahun pada Khamis dalam kes penipuan berjumlah AS$40 juta.

Kes tersebut menjadikan Tran Qui Thanh sebagai tokoh perniagaan berprofil tinggi terbaru yang terperangkap dalam kempen membanteras rasuah secara meluas di negara itu.

Mahkamah di Bandar Raya Ho Chi Minh mendapati Tran Qui Thanh dan dua anak perempuannya bersalah kerana menipu pelabur berhubung pinjaman yang dikeluarkan pada akhir 2019 dan awal 2020.

Thanh (71 tahun), pengerusi kumpulan minuman Tan Hiep Phat, diputuskan mendalangi penipuan terhadap aset yang bersesuaian yang diletakkan sebagai cagaran terhadap pinjaman, lapor media kerajaan.

Menurut kertas pertuduhan, Thanh enggan memberikan semula aset yang dicagarkan atas pelbagai alasan, termasuk mendakwa mereka telah kehilangan hak pembelian semula mereka kerana pelanggaran kontrak walaupun peminjam membayar balik wang itu beserta faedah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada anak perempuan Thanh, Tran Uyen Phuong, 43 tahun, timbalan CEO syarikat.

Sementara anak perempuan bongsunya, Tran Ngoc Bich, 40, dikenakan hukuman penjara tiga tahun.

Tan Hiep Phat ialah salah satu syarikat minuman terbesar di Vietnam, yang terkenal dengan rangkaian teh botol dan minuman tenaga.

Dalam kata-kata terakhirnya di hadapan mahkamah, Thanh berkata dia kesal dengan apa yang berlaku dan bersedia untuk bertanggungjawab.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE