fb fb fb fb fb

Taikun media Mesir, dipenjara tiga tahun serangan seksual terhadap gadis bawah umur

KAHERAH, 24 Mei - Mahkamah Mesir pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada seorang ahli perniagaan kerana memperdagangkan dan melakukan serangan seksual terhadap tujuh gadis bawah umur di rumah anak yatim yang diasaskannya.

Taikun media dan hartanah Mohamed el-Amin telah ditangkap pada Januari atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap gadis-gadis muda itu di rumah anak yatim di Beni Suef, kira-kira 100 kilometer (60 batu) di selatan Kaherah.

Amin, yang memiliki rangkaian televisyen popular CBC sebelum dijual pada 2018, berdepan hukuman penjara 25 tahun.

Hukuman penjara tiga tahun itu boleh dirayu, sumber kehakiman memberitahu AFP.

Kes itu mendapat perhatian umum selepas sebuah laman Facebook menuduh Amin melakukan serangan seksual terhadap gadis muda.

Selain saksi yang "mengesahkan keterangan mangsa", gambar turut ditemui pada telefon ahli perniagaan itu semasa siasatan dan rakaman dibuat mangsa menceritakan serangan itu, kata sumber kehakiman.

Pihak pendakwaan berkata, mangsa menuduh Amin kerap menyerang mereka "tanpa persetujuan mereka".

"Dia menyalahgunakan kuasanya terhadap gadis-gadis yatim, yang diserang secara seksual dan diugut untuk dihalau (dari rumah anak yatim) jika mereka melaporkannya," katanya.

Tiga tahun adalah hukuman paling ringan yang diperuntukkan oleh undang-undang Mesir, yang menetapkan hukuman maksimum 15 tahun untuk serangan seksual.

Tetapi kanun keseksaan menetapkan hukuman minimum tujuh tahun jika mangsa di bawah umur atau jika pelakunya menggunakan kuasa ke atas mangsa, dengan hukuman maksimum penjara seumur hidup (25 tahun) jika kedua-dua syarat dipenuhi.- AFP

 


(Mohamed el-Amin melihat dari kandang defendan semasa sesi perbicaraan.- AFP)

 

Media Baharu